Masa depan Isco kian samar - Utusan Malaysia

Masa depan Isco kian samar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID 30 Nov. – Santiago Solari berkata, setiap keputusan yang diambilnya adalah berlandaskan sikap profesional dan tiada sebab lain, tetapi jika tindakan tersebut mampu mencetuskan api kemarahan, maka pengendali Real Madrid itu hanya memburukkan lagi keadaan yang sedia parah.

Jika Isco cedera, ketiadaan pemain itu sewaktu Real melakar kemenangan ke atas Roma dalam aksi Liga Juara-Juara, Rabu lalu, bukanlah satu keputusan yang disengajakan, tetapi pilihan taktikal Solari telah memberi gambaran tentang masa depan pemain berkenaan.

Solari tidak lagi menyenaraikannya dalam kesebelasan utama pada lima perlawanan sebelum ini, tetapi dia membawa masuk Isco selaku pemain gantian sebanyak tiga kali ketika menentang Real Valladolid, Viktoria Plzen dan Eibar.

Selepas itu, dalam perlawanan di Stadium Olimpico, Isco tidak bermain sama sekali, sebaliknya dia sekadar berada di tempat duduk stadium bersama barisan pemain muda, Federico Valverde, Javi Sanchez dan Dani Ceballos.

Solari juga mengetepikan Keylor Navas dengan meletakkan Thibaut Courtois sebagai penjaga gol utama, tetapi Isco antara pemain utama yang menerima layanan buruk daripada jurulatih baharu itu.

Dia terpaksa menjalani pembedahan apendiks pada penghujung September lalu, tetapi pulih hanya dalam masa sebulan. Pemain itu turut menunjukkan kesetiaannya kepada Lopetegui, yang meletakkan kepercayaan untuk menyarung jersi Sepanyol pada ketika Zinedine Zidane tidak mengedahkannya di Real Madrid.

“Jika mereka pecat Lopetegui, mereka perlu menyingkirkan kami semua,” kata Isco, sewaktu jawatan jurulatih tersebut berada di hujung tanduk, tetapi kenyataannya itu telah ditegur kapten, Sergio Ramos.

Ekoran kenyataan itu, pihak pengurusan meminta Solari memantau tindak tanduk Isco, namun, jurulatih dari Argentina tersebut tidak terkesan dengan apa yang berlaku dan lebih gemar bersikap profesional.

“Terdapat beberapa keputusan yang terpaksa dibuat pada masa tertentu. Keputusan ini bersifat profesional, tiada lain. Tiada seorang pemainpun yang dijamin tempat dalam kese­belasan utama ataupun selaku pemain gantian. Terpulang kepada pemain untuk berusaha,” kata Solari. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN