MELAKA – Anggota Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilihat mahu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjuarai rakyat apabila bertindak menyertai parti itu hari ini, kata Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.
Menteri Pembangunan Usahawan itu berkata, Mas Ermieyati merupakan seorang pemimpin yang berkebolehan dan amat memahami serta peka terhadap apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan dalam membangunkan rakyat yang terpinggir terutama orang Melayu.
“Kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan, dia (Mas Ermieyati) mahu persama pergerakan yang mahu menjuarai rakyat, mempunyai hala tuju pergerakan untuk golongan yang tidak terpinggir itu dibela dengan sebaiknya.
Ini sama dengan hala tuju yang dibawa Bersatu dan Kerajaan Pakatan Harapan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mas Ermieyati Samsudin, yang juga bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO, bertindak keluar parti pada 1 Julai lepas, mengumumkan menyertai Bersatu hari ini. – Bernama










