SABAK BERNAM – Taktik licik dua warga Myanmar menjadikan pondok di dalam kawasan paya bakau sebagai markas penjualan dadah terbongkar selepas diberkas dalam satu serbuan di Jalan 1, Bagan Sungai Besar, di sini petang semalam.
Dalam serbuan pukul 3.30 petang tersebut, kedua-dua mereka yang berusia 33 dan 37 tahun itu merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Suprintenden Nor Azmi Isa berkata, penahanan mereka hasil maklumat dan risikan terhadap pengedaran dadah oleh warga Myanmar terbabit kepada penagih dadah di daerah ini.
“Hasil pemeriksaan ke atas pondok tersebut menemui tujuh paket plastik lut sinar dipercayai berisi dadah jenis heroin seberat 394.6 gram bernilai RM7,000.
“Turut dirampas adalah sebuah alat penimbang digital dan satu bekas plastik empat segi berwarna putih,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Nor Azmi menambah, siasatan awal mendapati mereka telah menjalankan kegiatan penjualan dadah sejak tiga bulan lalu dipercayai selepas memasuki negara ini secara haram.
Ujar beliau, ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin.
“Mereka kini ditahan reman selama 14 hari bermula semalam dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – K! ONLINE










