IPOH 12 Dis. – Kesemua mangsa yang rentung dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju semalam, tidak dapat dikebumikan pada hari ini berikutan laporan pergigian masih belum diterima.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan berkata, pihak hospital masih lagi mengesan rekod pergigian mangsa yang diperlukan oleh pihak polis bagi membuat perbandingan dengan waris keluarga terdekat untuk pengesahan mayat.
Beliau berkata, ketika ini, tiga mayat mangsa telah selesai dibedah siasat sementara tiga lagi bakal menyusul.
“Melepaskan mayat bukan di tangan hospital tetapi di tangan pihak polis kerana kes ini disiasat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
“Namun, pihak polis juga memberikan aku janji bahawa mereka tidak akan melewat-lewatkannya supaya mayat mangsa dapat dikebumikan dengan segera khususnya yang beragama Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sivanesan turut mengesahkan identiti enam mayat mangsa yang dikenal pasti terlibat dalam insiden itu.
Mereka ialah Ahmad Faizal Aminuddin,16; Muhamad Azhar Shah Rosli,19, Mohamad Ekmal Izzuddin Mohamad Kamari,16; Mohammad Nuraiman Abdul Rahman,16, dan Mohammad Nor Ikram Mohd. Husni,15, dan Thiagarajan, 40. – UTUSAN ONLINE











