Manfaatkan penggunaan aplikasi myTNB - Utusan Malaysia

Manfaatkan penggunaan aplikasi myTNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH 22 Dis. – Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka meminta pengguna meter pintar di negeri ini agar memanfaatkan aplikasi mudah alih myTNB bagi memudahkan mereka membuat semakan penggunaan bil elektrik semasa.

Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) TNB negeri, Ahmad Rezahan Mohammad berkata, setakat ini dianggarkan hanya lima peratus pengguna telah menggunakan aplikasi pertama TNB itu.

Beliau berkata, penggunaan aplikasi itu penting bagi mengukur kecekapan kadar penggunaan elektrik dalam tempoh setiap setengah jam sekali gus menggelak pengguna menerima maklumat yang menyeleweng berkenaan kelebihan penukaran meter biasa kepada ‘smart meter.’

“Selain mengetahui kadar penggunaan elektrik semasa, pengguna juga boleh melihat dan membuat bayaran bil dengan mudah serta pelbagai fungsi pada bila-bila masa selain tidak perlu menunggu bil fizikal.

“Pengguna boleh membuat sebarang aduan sekiranya mempunyai masalah mengenai meter pintar yang sebenarnya merupakan satu inisiatif TNB untuk menambahbaik sistem itu dan bukan bertujuan memberi kesan negatif kepada bil elektrik pengguna seperti yang pernah tular sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program kembali ke sekolah TNB 2019 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab di Dewan Kompleks Japerun Durian Tunggal di sini hari ini.

Hampir 40 peratus pengguna telah bertukar kepada meter pintar termasuk pengguna domestik mahu pun komersial sejak mula diperkenalkan di negeri ini.

Menurut Ahmad Rezahan, Melaka terpilih negeri pertama untuk penukaran meter pintar dan setakat semalam, TNB telah menukarkan sebanyak 132,000 daripada 340,000 pelanggan kediaman di negeri ini kepada meter tersebut.

“Apabila kita menggunakan myTNB, ia dapat membantu pengguna menggunakan elektrik dengan cara yang lebih berhemah dan cermat sekiaranya hari ini penggunaan terlalu banyak, esok mungkin boleh rancang menggunakan elektrik dalam kadar yang rendah kerana setiap setengah jam akan dapat melihat kadar penggunaannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN