LONDON – Manchester United dilaporkan telah menghantar peninjau bakat mereka untuk memberi maklum balas tentang perkembangan enam pemain Ajax Amsterdam ketika beraksi menentang Bayern Munich pada saingan Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Skuad kendalian Jose Mourinho itu ketika ini masih bergelut dalam kempen Liga Perdana England apabila berada di tangga keenam dengan 16 mata ketinggalan di belakang pendahulu, Manchester City.
Selepas gagal membawa masuk beberapa pemain yang diburunya musim lepas, United dikatakan telah memberi kebenaran kepada Mourinho untuk memperkuatkan semula pasukannya pada Januari depan.
Sumber memberitahu bahawa pertemuan di antara Ajax dan Bayern di Arena Johan Cruyff awal pagi semalam akan menjadi medan terbaik untuk melihat sejauh mana kemampuan pemain-pemain muda yang berjaya menarik minat mereka.
Matthijs De Ligt dan Frenkie De Jong sudah tentu menjadi agenda utama Mourinho dengan beberapa lagi kelab elit Eropah lain turut menunggu peluang merampas dua bintang muda Belanda itu sekiranya Ajax bersedia menjual mereka.
Turut dipantau dalam skuad Ajax ialah perancang serangan, Hakim Ziyech; penyerang, David Neres; pertahanan tengah, Donny van de Beek serta pertahanan kanan, Noussair Mazraoui selepas kesemua mereka turut dikaitkan dengan United sebelum ini.
Ajax mempamerkan aksi cemerlang sepanjang saingan Liga Juara-Juara musim ini setelah berjaya mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati.
Mereka memerlukan kemenangan ke atas Bayern untuk muncul sebagai juara kumpulan bagi mengelak daripada diundi bertemu pasukan handalan Eropah yang lain. – Agensi











