Malaysian Tigers tidak berdaya - Utusan Malaysia

Malaysian Tigers tidak berdaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Hasrat Malaysia untuk memulakan kempen Piala Dunia dengan langkah positif bukan sahaja gagal, malah dibelasah 7-0 oleh Belanda di Stadium Kalinga Bhubaneswar, India hari ini.

Gergasi hoki Eropah yang juga juara tiga kali, Belanda langsung tidak menunjukkan simpati kepada Malaysian Tigers apabila menjadikan kawasan D negara sebagai medan berpesta gol.

Lebih memilukan, ini kekalahan kali ke-29 Malaysia yang menghuni ranking ke-12 dalam 34 pertemuan menentang pasukan keempat terbaik dunia itu.

Belanda berjaya mendapatkan tiga jaringan padang sewaktu suku pertama serta kedua menerusi Jeroen Hertzberger pada minit ke-12, ­ Mirco ­Pruijser, minit ke-21 dan Hertzberger pada minit ke-29.

Belanda langsung tidak memberi ruang buat Malaysia memasuki kawasan D mereka, malah beberapa serangan balas skuad kebangsaan berjaya dipatahkan dengan mudah.

Suku ketiga menyaksikan Belanda tidak berdepan masalah menambah dua lagi jaringan menerusi pukulan sudut penalti daripada pakarnya, Mink Van Der Weerden pada minit ke-35 dan gol padang daripada Robbert Kemperman, minit ke-42.

Malaysian Tigers bagaikan menjadi mangsa kenduri gol Belanda apabila pasukan lawan menambah dua lagi jari­ngan menerusi pukulan sudut penalti Thierry Brinkman pada minit ke-57 dan gol padang hasil hatrik Hertzberger pada minit ke-60.

Malaysia kini tidak punya ­pilihan selain harus mendapatkan kemenangan dalam aksi kedua Kumpulan D menentang lawan yang dianggap setanding, Pakistan pada 5 Disember.

Hanya kemenangan mampu membuka peluang mereka meneruskan misi menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam Piala Dunia adalah menduduki tangga keempat di Kuala Lumpur pada 1975.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN