KUALA LUMPUR 22 Dis. – Kerajaan mengutuk keputusan Parlimen Perancis untuk tidak memasukkan minyak kelapa sawit dalam senarai bahan mentah biodiesel kerana tindakan itu memberi kesan kepada negara pengeluar komoditi tersebut termasuk Malaysia.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok memberi amaran bakal berlaku tindak balas dalam perdagangan dua hala serta beberapa kerjasama lain daripada pengeluar minyak kelapa sawit jika pihak berkuasa Perancis tidak mempertimbangkan semula keputusan mereka.

“Ini adalah keputusan yang tidak dialu-alukan dan bertentangan dengan prinsip perdagangan bebas dan adil. Undian dalam Parlimen (Perancis) mencetuskan amarah dan sangat dikutuk,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rabu lalu, Parlimen Perancis mengundi untuk menamatkan cukai insentif dan memutuskan untuk merawat diesel sawit sebagai bahan api biasa dan bukan bahan api mesra alam.
Menyifatkan perkara itu sebagai tidak wajar, Teresa menegaskan tindakan Perancis mengecualikan penggunaan dan import minyak kelapa sawit sebagai sebahagian daripada campuran tenaga boleh diperbaharui mampu menjejaskan hubungan perdagangan dua hala dengan Malaysia.
Selain itu, katanya, Malaysia merancang untuk membantah keras tindakan itu dan akan mendapatkan sokongan daripada pengeluar minyak kelapa sawit utama lain.
“Kami menganggap tindakan Parlimen (Perancis) menerima pakai pindaan undang-undang minyak bio dan bahan api yang sedia ada serta tidak mengiktiraf biodiesel sawit sebagai bahan api hijau sebagai diskriminasi dan tidak adil,” katanya.










