PUTRAJAYA 9 Dis. – Majlis Makan Malam Amal Pakatan Harapan (PH) malam ini yang bertujuan mengumpul dana secara telus dan berintegriti terus ke akaun pakatan itu berjaya mengutip sebanyak RM1.665 juta menerusi penjualan 156 buah meja.
Presiden PH, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, majlis julung kali yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini selaras dengan iltizam gabungan politik berkenaan untuk tidak menggunakan dana kerajaan bagi aktiviti politik parti.
Dalam masa sama kata beliau, PH juga mahu gerak kerja parti-parti komponennya dapat terus berjalan lancar demi manfaat rakyat.
“Kita mahu mengakhiri cara yang lapuk terutama apabila melibatkan perihal atau praktis pembiayaan politik. Oleh sedemikian, kita mengadakan makan malam amal ini secara terbuka kepada awam.
“Ini kerana praktis sebelum ini sudah sebati ibarat duri dalam daging iaitu seseorang itu akan mengharapkan balasan atau laba apabila melakukan sesuatu pertolongan atau kebaikan. Jadi, bagaimana kita mengubah budaya bobrok ini? Persoalan yang harus dijawab dalam diri kita sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis makan malam berkenaan.
Yang turut hadir Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN ONLINE










