Majoriti Pas tidak setuju - Shahidan Kassim - Utusan Malaysia

Majoriti Pas tidak setuju – Shahidan Kassim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 27 Dis. – UMNO Perlis membidas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah supaya parti keramat orang Melayu itu dibubarkan kerana tidak mempunyai masa depan.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, UMNO masih mempunyai ramai bilangan ahli Parlimen dan mendapat sokongan kuat di peringkat akar umbi

Beliau menegaskan, pemimpin yang meninggalkan parti itu tidak membawa bersama ahli-ahli parti, menyebabkan UMNO masih kekal utuh dan relevan.

“Apa yang berlaku hanyalah ujian dan UMNO akan bercantum semula (pulih). Pas juga berpecah lalu wujudnya Parti Amanah Negara (PAN).

“Saya percaya majoriti ahli-ahli Parlimen Pas tidak bersetuju dengan kenyataan ini (UMNO tiada masa depan).

“Malah tidak manis apabila Pas mengeluarkan kenyataan sedemikian (UMNO tiada masa depan) di saat kita (UMNO dan Pas) menjalin hubungan kerjasama… Jika daripada parti lain tidak mengapa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Mohd. Amar mengulangi pendapat peribadinya bahawa UMNO sudah tidak mempunyai masa depan dalam politik dan mencadangkan agar parti itu dibubarkan.

Mohd Amar berkata, cadangan tersebut telah lama disuarakannya malah telah banyak kali diulang dalam ceramah beliau selepas pelbagai kemelut dalaman melanda parti itu.

Menurut Shahidan, keadaan UMNO pada masa kini bertambah baik selepas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hassan diberi tanggungjawab untuk menjalankan tugas-tugas presiden parti.

Katanya, berdasarkan perkembangan semasa, beliau tidak menolak kemungkinan ahli Parlimen UMNO yang keluar dan menjadi bebas akan kembali bersama parti berkenaan.

“Parti UMNO sekarang mesti jelas hala tujunya iaitu untuk menjadi pejuang bagi mendapatkan kemenangan dan bukannya sebagai pembangkang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×