Maik teruskan proses pindah kubur tahun hadapan - Utusan Malaysia

Maik teruskan proses pindah kubur tahun hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Kerja-kerja pemindahan kubur lama di Lot 106 dan Lot 21 Jalan Sultanah Zainab di sini yang tertangguh akibat hujan akan diteruskan awal tahun hadapan selepas keadaan cuaca bertambah baik.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Dr. Nik Mohd. Azlan Abdul Hadi berkata, terdapat baki 50 kubur lagi yang akan dipindahkan dan prosesnya dijangka tamat pada Mac atau April tahun hadapan.

Beliau berkata, pihaknya telah turun semula ke kawasan itu pada 10 Disember lalu untuk mengalihkan baki batu nisan yang tertinggal semasa proses pemindahan kali pertama melibatkan 150 kubur yang dilakukan dari 1 Oktober hingga 1 November lalu.

“Kita lakukan pemindahan mengikut syarak, selepas isu tular dan pihak kami membuat penjelasan minggu lalu belum ada waris yang tampil dengan sebarang aduan atau bantahan rasmi kepada kami.

“Kami sentiasa bersedia membantu memindahkan kubur ke tempat yang dipilih waris sendiri namun setakat ini tiada yang datang kepada kami,” katanya selepas majlis penyerahan zakat perniagaan daripada Telekom Malaysia (TM) negeri Kelantan yang diwakili Pengurus Besarnya, Azman Yusof, berjumlah RM249,008 kepada pihak Maik di sini hari ini.

Nik Mohd Azlan diminta mengulas mengenai perkembangan proses penempatan semula kubur lama seluas 0.5 hektar di atas Lot 106 dan Lot 21, Jalan Sultanah Zainab di sini melibatkan kira-kira 200 kubur lama yang menjadi kecoh selepas video batu nisan berselerak tular di media sosial baru-baru ini.

Setakat ini pihak Maik telah memindahkan 150 buah kubur dengan 552 cebisan tanah hitam yang disifatkan sebagai jenazah dan diletakkan dalam karung putih ke Tanah Perkuburan Islam Mukim Tanjong Chat di sini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN