MAHU U-turn, ikut roundabout, jalan terus, atau melompat-lompat. Buatlah. Malas ambil kisah. Ini ayat paling biasa kita dengar sekarang. Tak percaya? Tanyalah anak-anak muda kita. Hal-hal yang bercelaru ini. Mereka bukan minat sangat.
Sayang bukan? Sepatutnya orang muda mengambil tahu hal-hal politik. Sebabnya, mereka inilah yang akan mencorakkan hala tuju politik negara ini, pada masa akan datang. Besar betul kuasa dan pengaruh mereka. Tetapi tidak begitu. Mereka tidak minat.
Di peringkat global pun begitu khabarnya. Orang muda tidak minat hal politik. Tetapi buat apalah kita hendak ikut macam di negara-negara lain. Kalau mereka terjun gaung, kita pun terjun gaung sama ke?
Kenapa anak muda tidak minat? Jangan asyik cakap dan beri ulasan bahawa celik politik dalam kalangan anak muda di negara ini masih berada di tahap rendah. Jangan salahkan mereka 100 peratus kenapa jadi begitu. Sendiri boleh lihatlah. Betapa bercelaru dan kecamuknya politik negara, lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Yang menang tak reti duduk diam, keluar parti, lompat sana, lompat sini. Yang kalah, jangan ceritalah, nampak macam tak kalah pula.
Jadi macam mana mereka boleh tertarik kepada hal-hal sebegitu? Kecelaruan tidak akan menarik orang untuk menyertainya. Siapa yang buat celaru? Sendiri pun tahu dan boleh jawab.
Benarkah ada ruang untuk orang muda berpolitik? Selalunya, sebelum pilihan raya macam itulah janji-janjinya untuk menarik sokongan orang muda. Buat macam-macam program untuk tarik golongan ini. Tetapi selepas pilihan raya, muka lama jugalah diambilnya. Tak ada muka lain. Ada pula mendakwa masih belia, 50-an pun belia lagikah?
Jadi timbul persoalan besar di sini, ikhlaskah mahu golongan muda menyertai dan mempunyai ilmu dalam hal-hal politik ini? Hakikatnya, mereka sudah letih jadi alat. Sama juga letihnya melihat senario politik semasa sekarang ini.
Sebenarnya, bukan dalam parti politik saja, anak muda liat mahu diketengahkan. Dalam kebanyakan organisasi pun. Tunggu senior-senior berhenti kerja, barulah mereka dapat jawatan penting. Pengalaman mereka diperkecil-kecilkan, tak cukup masaklah, tak banyak makan garamlah dan entah apa-apa lagi, sedangkan idea orang muda ini diakui semua amat diperlukan untuk memberi nafas baharu atau ‘nyawa’ pada sesebuah organisasi.
Tetapi itulah, orang lama, memang suka sangat bernolstagia. Menyandarkan pada kenangan dan kejayaan silam, yang belum pasti boleh dipakai mengikut peredaran semasa ketika ini.
Bila orang lama, budaya pun budaya lamalah. Tak ada pembaharuan. Yang lecehnya pula, menganggap mereka sahaja bagus dan betul. Mereka sahaja yang boleh menerajui. Akhirnya tak pergi ke mana-manalah.
Jadi berapa lama lagi orang muda mahu menunggu? Tunggu sehingga mereka berusia mencecah warga emas atau ‘belia emas’ baru diberikan tempat? Masa itu, semangat orang muda pun sudah pudar sebab bukan lagi muda.
Yang menjadikan keadaan ini lebih teruk adalah apabila tiada pelapis. Masa itu baru ‘gelabah badak’, mahu cari pengganti. Sebabnya, sebelum ini asyik mengharapkan seorang saja. Tiada orang lain yang dilatih, untuk melakukan kerja-kerja yang paling penting itu.
Cubalah betul-betul ikhlas. Cakap biar serupa bikin. Mengakui sahaja kepentingan anak muda dalam berpolitik dan dalam memajukan sesebuah organisasi tidak cukup. Berikan mereka peranan dan tanggungjawab yang lebih besar. Tentu kita akan dapat impak yang berlainan. Mereka perlu dilatih dari sekarang. Mahu tunggu bila lagi?










