Mahu sentiasa jadi terbaik - Utusan Malaysia

Mahu sentiasa jadi terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perasaan teruja dapat bersua dengan Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing di pejabat beliau di Cyberjaya pada Rabu lalu.

Lebih teruja lagi apabila melihat pelbagai ukiran objek, arca unik yang memenuhi ruang pejabat beliau. Cukup mengagumkan. Antara yang menarik perhatian penulis adalah objek sekumpulan katak berwarna hijau di atas tempurung, hanya seekor di bawah tempurung, yang terdapat di atas meja tempat berlangsung sesi temubual.

Ternyata, kewujudan kesemua ukiran objek, arca dan katak dalam keadaan di luar kebiasaan berbanding bidalan Melayu iaitu katak di bawah tempurung, adalah simbolik kepada budaya pemikiran kreatif dan inovatif yang dimiliki tokoh berkenaan.

“Kita perlu berfikiran kreatif kerana orang kata, untuk mengubah aturan, kita perlu berfikiran kreatif. Untuk berlari lebih pantas kita perlu mencari jalan bagaimana dapat berlari lebih pantas. Itu yang ada dalam minda saya, sentiasa menjadi yang terbaik.

“Kita mesti reka bentuk masa depan kita. Jika kita tidak reka bentuk masa depan, kita tidak ada masa depan, kita akan meminjam masa depan orang lain,” kata Kok Wing penuh makna kepada Mingguan Malaysia dalam satu temubual eksklusif.

Hasil usaha selama lebih dua dekad, Kok Wing berjaya meletakkan Universiti Limkokwing pada satu kedudukan dan kelasnya tersendiri sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa khususnya benua Afrika. Semuanya bermula pada era Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri keempat dan disokong oleh Perdana Menteri berikutnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berjaya mewujudkan landskap baharu dunia pendidikan di benua berkenaan, memberi harapan baharu kepada warganya terutama generasi muda yang dahagakan ilmu untuk masa hadapan mereka.

Kejayaan itu membolehkan beliau diangkat sebagai penasihat kepada beberapa pemimpin negara benua Afrika antaranya, Swaziland, Sierra Leone dan Lesotho.

Sehingga kini Universiti Limkokwing mempunyai 30,000 pelajar dari lebih 150 negara dengan kampus Cyberjaya sahaja mempunyai lebih 7,000 pelajar, kira-kira 80 peratus daripadanya adalah pelajar antarabangsa. Selebihnya pelajar tempatan termasuk bumiputera.

Menariknya, kira-kira 80 peratus tenaga pengajar di Universiti Limkokwing adalah anak tempatan majoriti bumiputera.

Menurut Kok Wing , tidak ada yang mustahil untuk dicapai dengan syarat rakyat Malaysia mesti yakin dan berbangga menjadi rakyat negara ini, elemen yang sebenarnya dikagumi banyak pihak luar.

Beliau berkata, kejayaan Universiti Limkokwing menarik kedatangan beribu-ribu pelajar asing ke negara ini adalah didorong oleh rasa kagum mereka terhadap Malaysia.

“Mereka yakin dan percaya negara ini. Mereka tahu Malaysia adalah sebuah negara yang selamat, aman, adil kepada orang lain dan menghormati mereka. Negara yang mereka kagumi adalah Malaysia, bukannya Amerika Syarikat, United Kingdom atau Australia,” jelasnya.

Selain itu, keistimewaan program-program berasaskan pemikiran kreatif dan inovasi dipacu oleh teknologi kreatif yang ditawarkan, membolehkan Universiti Limkokwing terus bertapak kukuh dalam industri pendidikan tempatan dan antarabangsa.

Selain Malaysia, Universiti Limkokwing mempunyai kampus dan pusat pengajian di Botswana, Kemboja, Lesotho, Sierra Leone, Swaziland, Uganda dan United Kingdom.

Pada tahun depan, Kok Wing memberitahu, pihaknya bercadang membuka beberapa lagi kampus di beberapa negara di benua Afrika, Amerika Selatan dan Asia Tengah.

Malah jelasnya, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan semasa melawat negara ini baru-baru ini turut menjemput Universiti Limkokwing membuka cawangan di Islamabad dan Lahore.

Bagi mencapai matlamat tersebut jelas Kok Wing, Universiti Limkokwing merancang untuk memperkenalkan pengajian dalam bahasa lain seperti Portugis dan Sepanyol yang banyak digunakan di negara benua Amerika Selatan dan Afrika.

“Model program pengajian kami adalah model Malaysia, bukan British atau Australia. Ia sangat berjaya dan sekarang masanya bagaimana untuk menyebarluaskannya ke seluruh dunia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×