RAUB 11 Dis. – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi melibatkan mahasiswa memasarkan produknya dalam usaha mendidik mereka menjadi usahawan yang berjaya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata, pendekatan itu akan dilakukan dengan pelaksanaan program Agromas Challlenge yang julung kali diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub di sini.
“Agromas Challenge merupakan program bagi mencari penjual produk Agromas terbanyak dalam kalangan mahasiswa UiTM Raub.
“Ini merupakan sejarah bagi UiTM Raub sebagai perintis dan kita akan perluaskan ke IPT lain di seluruh negara secara berperingkat,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Kelab Myagrosis dan Agromas Challenge di UiTM Kampus Raub di sini hari ini.
Menurut Ahmad, menerusi program itu FAMA menyasarkan jualan sebanyak RM1 juta dengan penyertaan kira-kira 1,000 mahasiswa dengan seorang disasar menjual produk bernilai RM1,000 setiap semester.
“Setiap mahasiswa bukan sahaja akan mendapat komisen daripada hasil jualan tetapi menerima hadiah wang tunai yang ditentukan berdasarkan jualan terbanyak,” ujarnya.
Katanya, melalui program itu juga mahasiswa terlibat bebas membuat pelbagai pendekatan pemasaran khususnya melalui dalam talian bagi memasarkan kira-kira 100 jenis produk makanan Agromas.
Sementara itu, beliau berkata, untuk mengembangkan lagi produk Agromas pihaknya menyasarkan 20 produk baharu pada tahun hadapan bagi memenuhi permintaan pengguna.
Ujarnya, FAMA juga akan terus mempergiatkan pemasaran produk tersebut yang kini telah berjaya dipasarkan di banyak negara Asia seperti Singapura dan Indonesia.










