CADANGAN agar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bekerjasama meningkatkan hasil dan kualiti hasil-hasil pertanian sangat dialu-alukan.
Selain isu tersebut, satu perkara lain yang amat penting sepanjang Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) yang berakhir Ahad lalu adalah mengenai pentingnya pembabitan golongan muda dalam bidang pertanian kerana bidang ini mempunyai masa depan yang cerah jika diusahakan dengan gigih dan bersistematik.
Biasanya, MAHA berjaya menghimpunkan segala macam produk pertanian dan mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat.
Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, hasil pertanian negara yang berkualiti akan mampu menembusi pasaran luar negara dan sudah tentu akan menambah pendapatan petani, peladang, penternak serta nelayan dan dapat menjana ekonomi negara.
Penyertaan golongan belia dalam bidang pertanian sangat penting untuk menjadi pelapis generasi lama yang masih bergiat dalam bidang pertanian tidak kira dari segi hasil tanaman dan ternakan. Golongan ini juga mestilah mempelajari dan mengambil kira kejayaan pengusaha-pengusaha pertanian dari luar negara yang terlibat dalam MAHA kali ini sebagai satu galakan untuk menceburi bidang pertanian.
Satu kaedah untuk memberi keyakinan kepada golongan muda menceburi bidang pertanian sangat penting supaya golongan ini tidak teragak-agak untuk menceburi bidang pertanian. Pertanian adalah perniagaan sudah lama dilaung-laungkan dan slogan ini jika dihayati memberi maksud bahawa pertanian membawa keuntungan jika diusahakan dengan penuh minat, kesungguhan dan mementingkan kaedah moden.
Satu perkara yang menarik adalah MAHA menggunakan tema ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita’ dan tema ini sama seperti tema tahun lepas. Tersuratnya, tema ini memperlihatkan betapa pentingnya bidang pertanian sebagai penyumbang makanan kepada kita dan masa depan kita dan negara juga bergantung kepada makanan.
MAHA sangat penting sebagai penyuntik semangat kepada sesiapa sahaja yang bergiat dalam bidang pertanian kerana mereka ini juga sebagai nadi penggerak ekonomi negara. Tanpa mereka, negara akan kekurangan bahan mentah dan sudah tentu bahan-bahan ini perlu diimport yang memerlukan kos yang tinggi.
Galakan kepada generasi muda agar melibatkan diri dalam bidang ini perlu diperhebat. Pertama, pelbagai insentif di peringkat permulaan mesti diberikan kepada golongan muda yang melibatkan diri dalam pertanian seperti terutamanya bantuan benih, baja dan racun.
Kedua, khidmat nasihat dan pemantauan oleh pihak berwajib mesti diambil kira untuk memastikan usaha yang dijalankan oleh generasi muda dalam bidang ini tidak terabai begitu sahaja. Seterusnya, pemasaran hasil-hasil pertanian yang diusahakan oleh generasi muda mestilah diberi perhatian agar mereka memperoleh keuntungan daripada apa yang diusahakan.
Kita percaya, apabila tergabung dua kementerian untuk memikul tanggungjawab dalam bidang pertanian, matlamat untuk meningkatkan imej golongan yang masih dianggap marhaen ini akan tercapai.










