PARIS 12 Dis. – Mohamed Salah meledak satu lagi jaringan istimewa bagi memastikan Liverpool menutup malam penuh mendebarkan dengan kemenangan 1-0 ke atas Napoli, sekali gus membawa mereka ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara hari ini.
Aksi di Anfield penuh drama, terutama dalam lima minit terakhir apabila Napoli berusaha bangkit mencari gol penyamaan dan Sadio Mane mensia-siakan peluang terhidang di depan gawang.
Begitupun, rembatan cantik Salah pada minit ke-34 sudah cukup memastikan Reds muncul naib juara Kumpulan C di belakan Paris Saint-Germain (PSG), dan melengkapkan kemaraan empat kelab England ke peringkat kalah mati.
Pada ketika Manchester City dan Manchester United sudahpun mengesahkan tiket mereka lebih awal, Liverpool mengiringi kecemerlangan wakil England bersama Tottenham, yang melakar keputusan sensasi mengikat Barcelona 1-1 hari ini.
Selain Salah, penjaga gol, Alisson juga menjadi watak penting Reds apabila menyelamatkan beberapa percubaan lawan, terutama tendangan pemain gantian, Arkadiusz Milik di waktu kritikal.
“Lihatlah perlawanan ini dan saya tidak pasti sama ada pengurus lain lebih berbangga dengan pasukan yang dimilikinya berbanding saya.
“Salah menjaringkan gol yang menakjubkan biarpun sukar dan saya sendiri tidak pasti bagaimana Alisson pula menyelamatkan percubaan bahaya lawan.
“Secara keseluruhan semua pemain cemerlang, malah kami berjaya menekanNapoli hingga mereka terpaksa menukar corak permainan,” kata jurulatih Liverpool, Klopp. – AGENSI











