KOTA BHARU 11 Dis. – Pertubuhan Keluarga Nikmatillah (keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz) tidak akan membawa isu pengurusan Maahad Darul Anuar sehingga ke mahkamah.

Timbalan pengerusi pertubuhan tersebut, Nik Din Nik Mat yang juga adik kepada allahyarham berkata, terpulang kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk mengambil tindakan selanjutnya kerana sekolah tersebut telah diserahkan kepada agensi itu.
Beliau berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk menyerahkan sekolah yang diasaskan oleh bapa mereka, Nik Mat Raja Banjar selepas melihat kemerosotan pelajar yang amat serius.
“Pada tahun 2000 sehingga 2009, jumlah pelajar di sekolah ini adalah seramai 1,200 orang namun selepas diuruskan oleh Nik Omar Nik Abdul Aziz, jumlah tersebut merosot sehingga 100 pelajar untuk sekolah menengah manakala kira-kira 100 murid prasekolah dan sekolah rendah.
“Ada tiga sebab kemerosotan pelajara ini, pertama, keyakinan ibu bapa terhadap pengurusan sekolah; kedua, yuran yang tinggi dan ketiga, menggunakan kurikulum sendiri yang tidak diiktiraf sehingga menyukarkan pelajar untuk menyambung pengajian,” katanya.
Beliau ditemui Utusan Online ketika bersama-sama keluarganya termasuk, Abangnya, Nik Husin dan adiknya, Nik Mohd. Nasim membantu pendaftaran pelajar di hadapan Maahad Darul Anuar di sini hari ini.
Semalam Utusan Online melaporkan pertikaian mengenai pengurusan sekolah tersebut memasuki fasa baharu apabila Keluarga Nikmatillah membuka kaunter pendaftaran pengambilan pelajar baharu dan tindakan tersebut tidak diiktiraf oleh Lembaga Pengarah Maahad Darul Anuar.
Nik Din berkata, pihaknya mengambil langkah untuk menyerahkan pengurusan sekolah tersebut kepada YIK supaya fasiliti yang mampu memuatkan 1,500 pelajar itu dapat digunakan sepenuhnya.
“Kita telah memberi peluang kepada Nik Omar untuk menguruskan Maahad Darul Anuar selama hampir 10 tahun tetapi jumlah pelajar semakin merosot, justeru, kita mahu harta wakaf ini diuruskan sebaik mungkin.
“Sekolah ini dibina hasil wakaf daripada orang ramai di atas tanah milik ibu saudara kami, keluarga rasa terpanggil bagi memastikan bangunan dan kemudahan yang ada dapat digunakan sepenuhnya untuk memberikan limu kepada masyarakat,” katanya.
Katanta, tidak timbul isu keharmonian keluarga Allahyarham terjejas sekiranya Nik Omar yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Maahad Darul Anuar mengikut nasihat mereka.
“Beliau hanya seorang, semua keluarga bersatu, jika beliau mendengar nasihat kita tidak ada apa-apa, kalau sekolah ini maju tidak ada apa,” katanya.
Sementara itu, anak Nik Abdul Aziz, Nik Adly yang pernah belajar dan bertugas sebagai pendidik di Maahad Darul Anuar berkata, seluruh adik beradiknya akan membantu untuk memulihkan sekolah tersebut. – UTUSAN ONLINE









