Lupakan Akhyar - Utusan Malaysia

Lupakan Akhyar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 29 Dis. – Gaji yang terlalu tinggi menjadi punca Perlis terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat pemain muda Kedah, Muhammad Akhyar Rashid bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata, pihaknya sedia maklum dengan gaji dan pampasan untuk mendapatkan penyerang kebangsaan itu namun disebabkan faktor kekangan kewangan membataskan hasrat tersebut.

“Memang kita berminat dapatkan Akhyar sejak daripada saya mengambil alih (PFA) lagi dan kita pun sudah hantar lamaran kepada dia (Akhyar). Cuma daripada segi kekangan kewangan membataskan usaha kita. Dengan kemampuan dan keupayaan dia, gaji memang tinggilah.

“Kita ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Akhyar dan berharap pemain muda itu dapat memilih pasukan terbaik bagi mengembangkan masa depannya sebagai pemain bola sepak,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antara Perlis dan Pulau Pinang di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, malam tadi.

Dalam perlawanan yang dipenuhi lebih 20,000 penyokong itu, Perlis gagal mengambil kesempatan bermain di gelanggang sendiri apabila diikat pasukan pelawat itu dengan jaringan 1-1.

Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan tersebut, Ahmad Amizal berkata, dia kurang berpuas hati dengan perlawanan malam tadi khususnya membabitkan prestasi import.

Katanya, banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki khususnya daripada segi persefahaman antara pemain.

“Masih terlalu awal lagi, kita pun masih mencuba pemain khususnya import. Kita akan bawa lagi beberapa pemain import untuk diuji dalam beberapa perlawanan persahabatan selepas ini.

“Apa yang pasti, kita akan cuba melakukan yang terbaik dalam saingan Liga Perdana musim depan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×