IPOH – Taman tema terkemuka, Lost World of Tambun sekali lagi menunaikan hasrat seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang mempunyai ketumbuhan otak berhibur di taman tema berkenaan bersama keluarga dan rakan-rakannya baru-baru ini.
Kepuasan jelas terpancar pada wajah kanak-kanak tersebut, Az Zahara Soffiea Mohd. Faizal selepas dia bersama kira-kira 20 ahli keluarga dan rakan-rakannya dibawa menikmati pelbagai tarikan yang terdapat di taman tema tersebut.
Antara aktiviti yang dilakukan mereka termasuk bermain dengan kucing di Catopia, memberi makan pebagai haiwan di Petting Zoo dan melawat harimau di Tiger Valley.
Bapa Az Zahara Soffiea, Mohd. Faizal Che Ahmad, 34, berkata, anak kedua daripada tiga adik-beradik yang mesra dipanggil ‘Baby’ di rumah itu disahkan mempunyai ketumbuhan otak pada April lalu selepas dia menunjukkan tanda-tanda seperti pergerakan tidak seimbang dan sering terjatuh ketika berjalan.
“Selepas disahkan mempunyai Brainstem Tumor, kami sekeluarga hanya mampu berserah kepada Tuhan agar Baby kembali pulih seperti sedia kala dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.
“Tiada apa yang dapat kami lakukan selain menunaikan hasratnya yang mahu berjumpa dengan kawan-kawannya di sekolah serta berjalan-jalan di kawasan yang pernah dilawatinya seperti Lost World of Tambun dan Cameron Highlands,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Tambah Mohd. Faizal yang bekerja sebagai usahawan itu, dia dan isterinya, Khalijah Man, 35, yang merupakan suri rumah sepenuh masa, mereka reda dengan ujian yang dihadapi mereka.
“Terima kasih kepada Lost World of Tambun dan Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia (CWS) kerana menunaikan hasrat anak saya yang mahu bergembira bersama ahli keluarga dan rakan-rakan sekolahnya di sini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah CWS, Gordon Hendricks berkata, pihaknya berbesar hati selepas berjaya menunaikan pelbagai hasrat kanak-kanak istimewa tersebut.
“Setakat ini, CWS telah menunaikan hasrat lebih 700 kanak-kanak di seluruh negara sejak penubuhan persatuan ini sejak 11 tahun lalu,” katanya. – K! ONLINE










