ALOR SETAR 10 Dis. – Pelbagai usaha sudah dilakukan, namun sia-sia.
Sehingga kini sudah lima tahun lamanya kira-kira 1,000 penduduk di Taman Seri Marina Fasa I, Kuala Kedah di sini terpaksa menghidu bau busuk daripada air loji rawatan kumbahan najis.
Begitulah yang dialami penduduk di situ yang terpaksa berhadapan dengan loji kumbahan yang tidak pernah berfungsi sejak menduduki kawasan berkenaan pada 2013.
“Kalau bau busuk pun kami dah tak boleh tahan, cuba bayangkan pula apabila musim hujan dan rumah kami digenangi air kumbahan,” kata salah seorang penduduk, Abu Abdul Hamid, 50.
Lebih malang tambahnya, kini loji rawatan berkenaan yang sepatutnya menyediakan perkhidmatan kepada penduduk, dipenuhi pula dengan semak-samun dan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan binatang berbisa.
“Peliknya, perumahan ini sudah menerima sijil perakuan kelayakan bagi menduduki bangunan pada 2013 sedangkan infrastruktur tersebut (loji) boleh dianggap terbengkalai walaupun binaannya siap dicat dan berpagar,” kata Abu lagi.
Menurutnya, dia sendiri sudah beberapa kali turun naik pejabat pihak berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Indah Water Konsortium (IWK) dan pihak pemaju, namun tiada perubahan.
Katanya lagi, Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga telah memotong bekalan elektrik di loji terbabit, menyebabkan kawasan tersebut kelihatan usang dan tidak terurus yang turut mencacatkan pemandangan.
Difahamkan, Taman Seri Marina yang mempunyai kira-kira 300 buah rumah, merupakan projek terbengkalai pada 2002 sebelum diambil alih oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) sembilan tahun kemudian.
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seri Marina, Mohd. Anuar Affindi Abd. Aziz berkata, pihaknya telah mengajukan masalah tersebut kepada pihak berkaitan termasuk yang terbaharu kepada Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew pada September lalu.
“Tidak banyak yang kami minta melainkan pihak berwajib membantu penduduk yang terjejas dengan masalah ini sejak sekian lama dan dapat memastikan loji rawatan kumbahan ini berfungsi mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan serta diserah kepada pihak IWK untuk diselenggara mengikut jadual.
“Masalah sekarang apabila loji tidak berfungsi, penyelenggaraan berkala tidak dapat dilakukan dan sisa kumbahan yang sudah lima tahun tidak diselenggara tersekat di paip utama rumah penduduk,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Anuar turut menyuarakan masalah jalan di perumahan tersebut yang tidak berturap sepanjang 400 meter sehingga menimbulkan kesukaran untuk pengguna terutamanya penduduk Taman Marina Jaya ke rumah mereka.
“Setiap kali hujan, air akan bertakung di kawasan berlopak maka pengguna terpaksa berhati-hati melalui jalan utama itu. Memang ada jalan alternatif tapi ia melalui hadapan rumah penduduk dan kami bimbang faktor keselamatan kanak-kanak yang bermain di hadapan rumah.
“Malah, apabila ada majlis kenduri pula laluan berhadapan rumah penduduk akan ditutup sementara untuk memberi peluang kepada tuan rumah, jadi pengguna tiada pilihan selain meredah sahaja jalan berlopak tersebut yang berisiko kepada mereka,” katanya.










