Loji insinerator terbesar negara dibina di Jeram, Selangor - Utusan Malaysia

Loji insinerator terbesar negara dibina di Jeram, Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Sebuah loji insinerator terbesar di negara akan dibina di Jeram, di sini yang mampu menukarkan 3,000 tan metrik sisa pepejal kepada 60 megawatt (mw) elektrik menjelang 2024.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pembinaan loji tersebut akan dibina melalui dua fasa melibatkan keluasan sehingga lapan hektar dengan yang pertama dijangka siap pada 2020.

Katanya, fasa pertama akan memproses 1,200 sisa pepejal dengan menghasilkan sehingga 24mw.

“Sampah yang dihasilkan penduduk Selangor adalah 7,000 tan metrik sehari daripada 70 peratus kawasan perbandaran yang ada di negeri ini.

“Walaupun kita mencatatkan urbanisasi pantas namun pengurusan sisa pepejal perlu dititikberatkan seiring dengan strategi keempat Belanjawan Selangor 2019 iaitu melestarikan alam sekitar,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian bersama kemudahan sisa pepejal kepada tenaga di sini hari ini. 

Majlis menandatangani tersebut dilakukan antara Worldwide Holdings Berhad yang diwakili Pengerusinya, Datuk Nor Azmi Diron; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Norazlina Zakaria bersama China Western Power Engineering and Construction Co Ltd diwakili Pengarah Eksekutif dan Presiden, Yang Xiangdong dan Pengarah Eksekutif, Joan Shuhong. 

Menurut Amirudin, kos pembangunan projek fasa pertama bernilai RM500 juta akan dibiayai sepenuhnya Worldwide Holdings Bhd. manakala kerajaan negeri akan menyediakan peruntukkan sejumlah RM40 juta bagi tujuan pengambilan tanah.

“Penukaran kaedah tanah pelupusan sampah sisa buangan kepada tenaga atau Waste to Energy (WTE) ini dilakukan susulan kekurangan tanah dan dapat menjimatkan tempoh masa tanah bagi pembangunan lain. 

“Kerajaan negeri juga bercadang membina sebuah loji insinerator di kawasan Tanjung Dua Belas, Kuala Langat pada masa akan datang bagi meningkatkan WTE di Selangor,” jelasnya. -K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN