Lima iltizam UMNO, tiada jalan belakang untuk berkuasa - Mohamad - Utusan Malaysia

Lima iltizam UMNO, tiada jalan belakang untuk berkuasa – Mohamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO menegaskan parti itu tidak akan merunding dan memeta jalan belakang untuk meraih kuasa secara terdesak.

Menurutnya, iltizam UMNO sepanjang empat setengah tahun menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 adalah tidak akan mengkhianati  keputusan PRU-14 dengan kembali membanjiri dan menyibuk dalam pasukan kerajaan.

Penegasan itu menerupakan salah satu daripada lima iltizam UMNO yang digariskan beliau untuk  yang akan dijadikan pedoman dalam membangunkan jalan ke hadapan.

Menurut Mohamad, menerusi iltizam pertama, UMNO akan membina dan menyuburkan sistem demokrasi Malaysia melalui kepimpinan yang berprinsip sebagai pembangkang.

“UMNO mesti melupakan dahulu hajatnya untuk berkuasa semula. UMNO hanya ada satu sahaja pilihan iaitu membangunkan semula keyakinan orang Melayu terhadapnya dan menjadi wadah gerakan politik, amal dan bakti untuk bangsa Melayu.

“Iltizam baru bagi UMNO adalah untuk menyuburkan demokrasi Malaysia dengan mengukuhkan sistem dwiparti dan politik berprinsip. Rakyat Malaysia yang telah memilih kerajaan baru tidak akan dikhianati oleh UMNO,” kata Mohamad dalam satu kenyataan hari ini.

Iltizam kedua adalah untuk membangunkan wibawa UMNO sebagai parti pembangkang yang terhormat dan disegani. Selama empat setengah tahun yang berbaki ini, menurut beliau, UMNO akan menjadi wadah semak dan imbang yang tegas dan benar-benar efektif.

Tegas Mohamad, UMNO akan memberikan alternatif yang baik kepada segala yang dijanjikan oleh pihak kerajaan, dan terus menyuarakan pendapat dan menyatakan sebarang kelemahan yang didapati.

Iltizam ketiga adalah UMNO akan memerangi politik wang. Menurut Mohamad, politik wang telah menjerumuskan UMNO ke tahap sekarang yang bukan sahaja menyebabkan UMNO tewas, tetapi menjadikan rakyat semakin lemah dan tidak berketahanan.

Iltizam keempat pula akan menjadikan idea sebagai modal politik UMNO yang akan membenarkan berlakunya perubahan generasi change yang sangat diperlukan oleh parti tersebut.

Iltizam kelima UMNO adalah untuk menyemak kembali agenda Melayu dan dalam masa yang sama tidak  meminggirkan bangsa lain dalam apa jua cara.

Menurut Mohamad, dengan semakan semula agenda Melayu ini, UMNO akan ada tawaran baru kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.

“Inilah iltizam baharu UMNO yang akan dijadikan pedoman dalam perjalanan ke hadapan. Saya berharap bahawa semua pendukung UMNO berkongsi dalam iltizam ini.

“Seruan ke arah kebaikan adalah seruan yang mesti kita bangunkan bersama. Dengan kerjasama kita semua, akan bermulalah episode pengislahan sebenar UMNO, Insya’Allah,” kata Mohamad.-UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×