JEMPOL 5 Dis. – Seorang pemandu van parah manakala empat penumpang cedera ringan selepas kenderaan itu terlibat dalam kemalangan dengan sebuah ambulans di Kilometer 5, Jalan Bahau – Juasseh, di sini hari ini.
Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang ketika ambulans dari Hospital Jempol yang dinaiki seorang pemandu, pembantu perubatan dan pesakit dalam perjalanan dari arah Bahau ke Juasseh.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah van dipandu lelaki berusia 55 tahun yang berada di bahu kiri jalan secara tiba-tiba membuat pusingan U.
“Ambulans itu gagal mengelak lalu melanggar van berkenaan. Akibat perlanggaran itu, pemandu van cedera parah dengan mengalami patah tangan dan kaki kanan, manakala empat penumpang cedera ringan. Seorang lagi penumpang tidak cedera,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata, pemandu dan dua penumpang ambulans tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Jempol dan Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE










