KUALA LUMPUR 1 Dis. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempersoalkan pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa pelaburan terus asing (FDI) naik 350 peratus untuk sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas.
Najib berkata, rujukan terhadap laporan rasmi FDI dari Bank Negara Malaysia dan Jabatan Statistik Negara menunjukkan FDI mengalami kejatuhan teruk tiga kali ganda bagi sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Angka rasmi dan sahih tunjukkan FDI jatuh tiga kali ganda dan bukannya naik 3 kali ganda sebagaimana diumum oleh Lim Guan Eng.
“FDI untuk suku pertama yang tinggi pun sudah menjunam turun bagi suku ke-2 dan suku ke-3,” kata Najib dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.
Star Online pagi ini melaporkan, Guan Eng berkata, Malaysia mencatatkan kenaikan 350 peratus FDI dalam tempoh sembilan bulan tahun ini berbanding tempoh sama tahun lali.
Kenaikan tersebut menjadi bukti kukuh sejak lima bulan lalu pertumbuhan ekonomi negara sangat menggalakkan dan keyakinan pelabur yang tinggi terhadap kepimpinan negara.
Menurut Guan Eng, FDI dalam tempoh sembilan bulan tahun ini adalah RM49 bilion berbanding RM14 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
“Tiap-tiap hari kita baca laporan media bahawa rizab antarabangsa negara semakin susut, unjuran ekonomi negara terus diturunkan, ringgit semakin jatuh nilainya, indeks bursa jatuh dengan pengaliran keluar dana asing dan kadar pertumbuhan KDNK ekonomi merosot untuk suku kedua dan suku ketiga.
“Adakah agensi-agensi rasmi kerajaan tersalah lapor? Atau sebagaimana pada masa lalu, Guan Eng hanya pandai ‘main hantam’ sahaja?” tanya Najib.-UTUSAN ONLINE










