KUALA LUMPUR – Letusan kepingan benua di bawah dasar laut ekoran letupan gunung berapi Anak Krakatau disifatkan sebagai faktor utama terhasilnya gelombang tsunami yang membadai sekitar pantai di Selat Sunda, Indonesia malam kelmarin.
Mantan Ketua Jabatan Geologi Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, letusan dalam kerak bumi itu menyebabkan air laut ditolak ke daratan berikutan tercetusnya gelombang ombak besar.
“Penolakan itu mungkin disebabkan oleh tenaga kuat yang terhasil susulan berlakunya letusan di bawah laut dan seterusnya membentuk gelombang tsunami untuk menolak lautan ke arah daratan.
“Selain itu, faktor air pasang besar juga dilihat menjadi pemangkin kepada peningkatan kekuatan gelombang, sekali gus menyebabkan peningkatan aliran air laut ke arah pantai serta daratan,” katanya kepada Kosmo! ketika diminta mengulas laporan Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) yang menyifatkan kemungkinan kejadian ombak tsunami disebabkan oleh pergerakan tanah di bawah dasar laut dan fenomena air pasang.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan Malaysia akan berdepan dengan kejadian tsunami, Mohamad Ali berkata, kita perlu bersyukur memandangkan kedudukan negara yang agak jauh dengan kawasan lilitan api.
“Bagaimanapun, kekerapan kejadian letupan gunung berapi di Indonesia sejak 20 tahun kebelakangan ini mungkin menyebabkan kawasan di sekitar perairan Malaysia turut merasai kesannya dengan lebih kerap,” ujarnya.










