BUTTERWORTH – Polis menahan tiga wanita dan seorang lelaki yang merupakan geng samun berkumpulan menyasarkan mangsa dikenali mereka menerusi aplikasi sosial WeChat dalam beberapa serbuan di Pulau Pinang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Assiten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mereka termasuk pasangan kekasih berusia 19 hingga 29 tahun itu ditahan secara berasingan di dua lokasi berbeza bermula pukul 1.30 pagi semalam.
“Berdasarkan siasatan, mereka terlibat dalam kejadian samun berkumpulan seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Bagan Ajam, di sini pada pukul 9.30 malam Selasa lepas.
“Dalam kejadian itu, mangsa mengenali seorang daripada wanita berkenaan menerusi WeChat dan mereka berjumpa di rumah lelaki tersebut sebelum suspek menghubungi rakan-rakannya serta menyamun dengan mengacukan sebilah parang ke leher mangsa,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mereka merampas barang-barang peribadi milik lelaki itu selain turut memaksanya memindahkan wang melalui transaksi atas talian di telefon bimbit mangsa.
Noorzainy berkata, mangsa kemudiannya dibawa keluar dari rumahnya dan ditinggalkan dalam keadaan diikat di kawasan rumah flat di Bagan Ajam iaitu tidak jauh daripada pangsapuri lelaki itu sebelum dia diselamatkan orang ramai dan seterusnya membuat laporan polis. – Bernama










