KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Syria maut dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke pusat bandar berdekatan kawasan pusat beli belah Midvalley di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, kereta jenis Hyundai Sonata yang dinaiki dua lelaki warga Syria tersebut terbabas lalu tersepit di celah tiang jejambat di situ.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.22 tengah malam.
“Lapan anggota berserta sebuah jentera dan sebuah kenderaan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Anggota dan jentera dari BBP Hang Tuah turut turun ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki warga Syria iaitu pemandu tersepit di dalam kereta manakala seorang lagi selamat dengan cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari kereta tersebut kira-kira pukul 1.15 pagi. – K! ONLINE











