KUALA TERENGGANU 30 Nov. – Kira-kira setahun lelaki orang kurang upaya (OKU), Wan Zainuddin Wan Ahmad Muji, 42, terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini akibat komplikasi kecederaan saraf tunjang dan tidak menyangka membawa kepada pertemuan dengan gadis yang kini menjadi suri hatinya.
Kehidupan Wan Zainuddin yang sebelum ini diduga dengan ujian berat setelah lumpuh sejak 2011 di samping kegagalan perkahwinan lalu berubah apabila berkenalan dengan Maizatul Hakimah Yusof, 24, pada awal 2015.
Gambaran kebahagiaan terpancar pada wajah bapa kepada dua anak perempuan itu apabila diijabkabulkan hari ini dengan pasangannya di sebuah rumah peranginan di Batu Burok di sini.
Wan Zainuddin berkata, pengorbanan paling besar dilakukan Maizatul Hakimah yang tidak mungkin lupa dalam ingatan apabila gadis itu tanpa jemu melawat dan menjaganya semasa di hospital di sebalik kesibukan sebagai pelajar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), lalu memudahkannya melalui ujian tersebut dengan tenang.
“Kami berkenalan ketika dia melawat keluarga rakannya yang kebetulan bersebelahan katil saya. Walaupun keadaan saya terlantar dan tiada pekerjaan tetapi dia masih sudi berkawan sehingga hubungan itu menjadi serius lima bulan kemudian.
“Rasa segan dan rendah diri memang ada sebab saya tidak sempurna macam orang lain, hendak duduk di kerusi roda pun saya boleh jatuh, tetapi dia sentiasa bagi sokongan hingga boleh bangkit meneruskan kehidupan dan membuka perniagaan pada November 2016,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis perkahwinannya.
Wan Zainuddin yang berasal dari Felda Kerteh 3, Paka, Dungun mengusahakan perniagaan secara dalam talian dengan menjual produk kesihatan termasuk untuk penghidap kencing manis dengan dibantu lima pekerja.
Katanya, atas sokongan isterinya juga dia kini sudah kembali memandu kenderaan selepas sekian lama tidak melakukannya sejak disahkan lumpuh.
Sementara itu, Maizatul Hakimah berkata, walaupun sedar kekurangan fizikal dialami suaminya tetapi dia tidak menjadikan perkara tersebut sebagai halangan dalam perhubungan mereka sekali gus gembira kerana dapat melihat perubahan positif Wan Zainuddin secara berperingkat.










