KUALA SELANGOR 1 Dis. – Seorang lelaki maut selepas dia terjatuh ketika sedang melakukan kerja menyelenggara sistem penghawa dingin di tingkat enam bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Kuala Selangor, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, Gan Han Boon, 40, maut ditempat kejadian dan mayatnya ditemukan orang awam dalam keadaaan tertirap di laluan lobi utama bangunan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Md. Asri A. Wahab berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di seluruh anggota badan akibat insiden berkenaan.
“Sebelum itu, mangsa dilaporkan sedang membaiki alat penghawa dingin di tingkat 6 bangunan berkenaan tetapi punca bagaimana dia boleh terjatuh masih dalam siasatan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang dan hasil bedah siasat, punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan parah yang berpunca daripada impak jatuh dari tempat tinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










