Lelaki maut dilanggar lori ketika tukar tayar - Utusan Malaysia

Lelaki maut dilanggar lori ketika tukar tayar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 19 Dis. – Seorang lelaki yang sedang menukar tayar kenderaan di lorong kecemasan maut dirempuh sebuah lori tiga tan di Kilometer 269.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini pagi tadi.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, semasa kejadian pukul 5.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Solehan Mohd. Nasir, 32, dan empat ahli keluarganya dalam perjalanan dari Jempol ke Kuala Lumpur menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Alza.

“Kenderaan dipandu mangsa mengalami kerosakan tayar di bahagian hadapan kanan dan dia memberhentikan kenderaannya di laluan kecemasan untuk menukar tayar.

“Ketika sedang menukar tayar, sebuah lori tanpa muatan yang bergerak di lorong paling kiri lebuh raya itu hilang kawalan lalu terlanggar bahagian belakang Perodua Alza dan merempuh mangsa,” katanya di sini hari ini.

Hock Poh berkata, mangsa maut di lokasi kejadian manakala isterinya, Nor Baizura Ab Aziz, 32, dan tiga anak mereka, Nur Zakirah, 8, Nur Dayana Batrisya, 4, dan Nur Humairah, 3, yang berada di dalam kenderaan turut cedera.

Katanya, lori tersebut terbabas ke bahu kiri lebuh raya sebelum masuk ke dalam longkang di lokasi berhampiran dan mengakibatkan pemandu berusia 45 tahun dan kelindan berusia 55 tahun cedera.

Katanya, mayat mangsa serta mereka yang terlibat dalam kemalangan itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN