JERANTUT – Polis menahan seorang lelaki dalam keadaan khayal selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 1.5 Jalan Jerantut-Maran, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu, kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dipandu lelaki berkenaan telah melanggar sebuah Perodua Myvi sehingga terbalik.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Supritendan Mazlan Hassan berkata, pihaknya telah melakukan siasatan terhadap lelaki berusia 29 tahun terbabit selepas melihat keadaannya yang mencurigakan.
“Pemeriksaan terhadap kereta suspek telah menjumpai enam botol plastik mengandungi cecair perang dipercayai air ketum kira-kira 8.18 liter.
“Polis turut menemui satu bekas plastik berwarna hitam berisi 0.28 gram disyaki dadah jenis Erimin 5,” katanya kepada pemberita di sini.
Menurutnya, lelaki yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor itu turut didapati positif dadah jenis ganja selepas menjalani ujian saringan air kencing sejurus ditahan.
“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1)(A) ADB 1952,” ujarnya.
Mazlan memberitahu, siasatan awal mendapati suspek turut mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 15(1) (A) ADB 1952.
“Nilai rampasan air ketum dan dadah di dalam kereta suspek dianggarkan berjumlah RM120” jelasnya. – K! ONLINE










