KEPALA BATAS 21 Dis. – Lelaki warga Indonesia yang merupakan suspek utama kes tetak tiga penduduk tempatan di sebuah kilang memproses produk sejuk beku di Kampung Selamat di sini kelmarin, berjaya ditahan polis.
Jonathan Sihotang, 31, yang bekerja sebagai pemotong daging di kilang sama ditahan di Petaling Jaya, Selangor, kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan, suspek dipercayai melarikan diri menaiki teksi manakala motosikal milik majikannya yang digunakan selepas kejadian itu juga berjaya ditemukan.
“Dengan penahanan suspek, kita menganggap kes ini berjaya diselesaikan dan suspek akan direman bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, seorang wanita, Sia Seok Kee, 41, maut ditetak dengan parang oleh seorang lelaki yang mengamuk selepas dipercayai tidak berpuas hati kerana tidak mendapat gaji seperti ditetapkan.
Turut cedera parah akibat ditetak dalam kejadian di bilik sejuk beku kilang itu ialah dua anak wanita berkenaan iaitu Yong Wei Keong, 14, dan Sia Yung Jern, 17, yang ketika kejadian sedang bekerja di kilang tersebut. – UTUSAN ONLINE










