SUNGAI PETANI 29 Dis. – Seorang lelaki ditemukan mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian leher dan badan di dalam sebuah kereta berhampiran tapak pasar malam, Taman Bandar Baru, Sungai Lalang di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Sazalee Adam berkata, mayat mangsa, A. Muniandy, 41, ditemukan orang awam kira-kira pukul 4.15 pagi dalam keadaan terbaring di bahagian tempat duduk pemandu.
“Balai Polis Bedong menerima satu panggilan daripada seorang lelaki mengatakan bahawa ada seorang lelaki berlumuran darah di dalam kereta jenis Nissan Grand Livina berwarna putih,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ujar Sazalee, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Difahamkan, mangsa yang mempunyai seorang isteri serta lima orang anak, baru balik dari bekerja di Singapura sejak tiga hari lalu.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk dibedah siasat. – UTUSAN ONLINE










