TANJUNG MALIM – Seorang lelaki ditahan bersama 60 kilogram (kg) daun ketum dan 10 liter air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kelawar dekat sini semalam.
Suspek berusia 33 tahun tersebut ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim dalam serbuan pada pukul 3 petang.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pemeriksaan menjumpai dua tong plastik berisi 10 liter air ketum dan 12 bungkusan hitam berisi daun ketum seberat 60 kg.
“Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM2,000.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek yang bekerja kampung itu negatif dadah namun dia mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pukul,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Wan Kamarul Azran, suspek kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – K! ONLINE










