TANJUNG MALIM 24 Dis. – Polis merampas 60 kilogram daun ketum dan 10 liter air ketum berikutan penahanan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kelawar dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, serbuan pada pukul 3 petang itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Mualim.
Katanya, dalam serbuan tersebut pihaknya telah menemukan dua tong plastik berisi 10 liter air ketum dan 12 bungkusan hitam berisi daun ketum seberat 60 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2,000.
“Ujian saringan awal air kencing yang dilakukan terhadap suspek yang bekerja kampung itu mendapati negatif namun mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes mendatangkan kecederaan.
“Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 untuk siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE










