PULAU PINANG 4 Dis. – Seorang lelaki yang memiliki sembilan rekod jenayah termasuk dipercayai suspek kes rogol bawah umur berjaya ditahan polis di lebuh raya Jelutong, di sini malam tadi.
Bagaimanapun, polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta yang dinaiki suspek selepas lelaki berusia 29 tahun itu bertindak memecut kenderaannya ketika ditahan dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, suspek turut melanggar sebuah motosikal dan kereta ketika dikejar pihak polis sebelum melarikan diri.
“Polis bagaimanapun berjaya menahan suspek di Jalan Sungai Pinang, Jelutong di sini selepas lelaki itu melarikan diri sebaik sahaja keretanya melanggar sebuah motosikal dan kereta lain.
“Mengikut rekod, suspek mempunyai sembilan rekod jenayah iaitu tujuh membabitkan kes jenayah manakala dua lagi kesalahan berkaitan dadah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Che Zaimani, suspek akan direman di mahkamah Georgetown pagi ini. – UTUSAN ONLINE










