Lebih baik 'tutup' sahaja Suhakam - Utusan Malaysia

Lebih baik ‘tutup’ sahaja Suhakam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menempelak tindakan beberapa pihak termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang masih mendesak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasi.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya menyifatkan tindakan suruhanjaya itu sebagai tidak rasional.

Kata beliau, meskipun lebih setengah juta rakyat telah menyatakan ketidakpuashatian serta membantah ratifikasi ICERD namun sikap keras kepala serta niat jahat dan sombong menyebabkan pihak berkenaan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Sikap angkuh ini bagi saya, kerajaan perlu lihat balik. Kemungkinan Suhakam ini perlu dibubarkan. Apa maknanya kalau niat mereka untuk kucar-kacirkan negara dan bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.

“Adakah kita mahu ikut barat atau memastikan Suhakam ini mengikut kelestarian negara kita. Kalau mereka mahu porak perandakan Perlembagaan negara dan struktur masyarakat, bagi saya lebih baik kita tutup sahaja Suhakam ini.

“Ada parti politik yang membuat sidang media menyokong ICERD. Bagi saya, ini juga sikap angkuh, tidak sedar dan tidak memahami kehendak rakyat. Jadi, saya harap rakyat boleh menilai semua ini,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail menegaskan pihaknya akan terus menasihat kerajaan untuk meratifikasi baki enam konvensyen antarabangsa yang belum ditandatangani Malaysia termasuk ICERD.

Menurut Aminuddin berkata, pihak polis telah mengambil keterangan beliau sebagai Pengerusi Ummah dan Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) Mahmud Hishamuddin selama kira-kira 40 minit berhubung isu kehadiran kanak-kanak dalam perhimpunan #DaulatHimpunan812.

“Kita telah berikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan sedia untuk dipanggil semua untuk memberi keterangan sekiranya diperlukan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu kehadiran kanak-kanak dalam perhimpunan Sabtu lalu, Aminuddin berkata, perkara itu di luar kawalan penganjur yang telah memberi peringatan kepada peserta agar tidak membawa kanak-kanak ke perhimpunan berkenaan.

“Kita telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan peserta untuk membawa kanak-kanak ke perhimpunan tersebut, malah kita juga telah menghalang mana-mana pihak untuk membuat kekacauan.

“Cuma kemungkinan pada hari tersebut, ada yang pergi membeli-belah, lalu kebetulan mereka sampai di situ dan turut sertai perhimpunan tersebut. Itu di luar kawalan kita untuk menghalang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN