Lebih 20,000 murid terima bantuan persekolahan - Utusan Malaysia

Lebih 20,000 murid terima bantuan persekolahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seramai 20,000 murid sekolah rendah daripada golongan kurang berkemampuan di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bakal menikmati bantuan persekolahan percuma daripada Yayasan Wilayah Persekutuan pada tahun ini.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, bantuan tahunan menerusi program Kembali ke Sekolah itu bertujuan membantu meringankan beban perbelanjaan ibu-bapa atau penjaga dalam menghadapi pembukaan sesi persekolahan 2019.

Katanya, sumbangan itu diagihkan kepada pelajar yang terdiri daripada 224 buah sekolah di ketiga-tiga kawasan berkenaan.

“Program ini menelan belanja sebanyak RM3 juta di mana murid-murid akan menerima kelengkapan berupa set pakaian, kasut dan beg sekolah.

“Bantuan persekolahan ini dilaksanakan melalui pelbagai kaedah antaranya kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi memastikan murid yang benar-benar layak menerima manfaat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Program Kembali ke Sekolah Yayasan Wilayah Persekutuan di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 1 hari ini.

Tambah Khalid, antara kaedah lain yang dilaksanakan ialah melalui penilaian serta agihan oleh agensi kerajaan serta ahli-ahli parlimen di kawasan Wilayah Persekutuan.

“Kami percaya dalam masa jangka panjang, mereka akan menjadi permata yang mampu mengubah dan meningkatkan taraf hidup keluarga serta masyarakat sekitar,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN