MELAKA 6 Dis. – Kerajaan negeri mahu semua pengayuh beca di negeri ini berdaftar dengan persatuan sah bagi membolehkan mereka berpeluang mendapat manfaat yang bakal disediakan seperti latihan percuma dan sebagainya.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kerajaan negeri komited membantu kumpulan itu dengan rancangan untuk meningkatkan imej beca Melaka termasuk pembaharuan dalam sektor tersebut.
Menurutnya, keperluan golongan tersebut sentiasa diberi perhatian di peringkat kerajaan negeri demi penambahbaikan dari segi mutu perkhidmatan kepada pelancong dalam dan luar negara.
“Kerajaan negeri sudah membincangkan isu pengusaha beca ini dan bersedia memberikan latihan percuma kepada mereka terutamanya dari segi komunikasi dengan pelancong.
“Usaha ini penting kerana pengayuh beca merupakan duta kecil pelancongan Melaka malah merekalah yang banyak berkomunikasi dengan pelancong.
“Sehubungan itu, kita harap mana-mana pengusaha beca yang belum berdaftar dapat mendaftar dengan persatuan disahkan kerajaan negeri demi manfaat pada masa depan,” katanya dalam sidang akhbar mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Negeri Ayer Keroh di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE










