PASIR PUTEH 8 Dis. – Sebanyak 500 orang termasuk dari Thailand menyertai Larian Pantai Musim Tengkujuh (PMT) anjuran Kelab Berbasikal Bersatu Pantai Timur, di Pantai Bisikan Bayu, Semerak, dekat sini, pagi ini.
Larian berkenaan adalah anjuran bersama dengan Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Pelancongan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Pengarah program itu, Khairul Affan Hassan berkata, penyertaan peserta dari seluruh negara amat memberangsangkan termasuk 30 pelari dariThailand.
Menurutnya, larian tepian pantai itu melibatkan tiga kategori iaitu lima kilometer bagi peserta obes, tujuh kilometer terbuka dan peserta veteran.
“Hadiah yang ditawarkan bagi setiap kategori adalah wang tunai dari RM100 hingga RM300 selain plak dari Kementerian Pelancongan Malaysia.
“Kita juga turut mengadakan larian santai untuk kanak-kanak sejauh satu kilometer bagi memeriahkan program berkenaan,” katanya ketika ditemui Utusan Online di Dee Wana Resort, dekat sini, hari ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah menyempurnakan pelepasan peserta pada pukul 8 pagi.
Pada program yang sama Jabatan Bomba dan Penyelamat turut mengambil tugasan sebagai anggota penyelamat yang bertugas di sepanjang trek larian.
Khairul Affan berkata, larian berkenaan adalah titik permulaan bagi pelaksanaan sukan lasak yang melibatkan acara renang, berlari dan berbasikal peringkat antarabangsa yang akan diadakan tahun hadapan.
“Sukan seumpama ini popular diadakan di sekitar pantai Songkla, Thailand dan dijangka mampu menarik kunjungan pelancong sekiranya dilaksanakan di negara ini.
“Pada tahun depan, kita bercadang mengadakan larian seumpama ini dengan jarak yang lebih jauh iaitu 21 kilometer merentasi pantai Kelantan dan Terengganu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










