WELLINGTON 30 Nov. – Lebih 50 ekor paus pandu ditemukan mati terdampar di pantai Pulau Chatham dekat sini, hari ini menjadikan jumlah kematian mamalia itu meningkat lebih 200 ekor sejak minggu lalu.
Pengurus Jabatan Pemuliharaan, Dave Carlton berkata, paus yang mati itu merupakan sebahagian daripada kumpulan kira-kira 90 ekor paus yang ditemukan di pantai pulau berkenaan yang terletak kira-kira 800 kilometer timur South Island, semalam.
Katanya, sebaik sahaja pihak renjer tiba di pantai Pulau Chatham awal hari ini, 50 ekor daripadanya telah mati, seekor masih terperangkap manakala selebihnya berjaya kembali ke laut.
Kejadian ini merupakan yang kelima di negara ini dalam tempoh kurang seminggu termasuk sebanyak 145 paus yang kesemuanya mati selepas terdampar di pulau Stewart, selatan pantai South Island, baru-baru ini.
Menurut kumpulan pakar, kejadian itu berkemungkinan berpunca daripada peningkatan suhu laut.
Walaupun begitu punca sebenar masih belum difahami sepenuhnya tetapi teori kejadian termasuklah penyakit, kesilapan laluan, bentuk muka bumi dan kehadiran pemangsa.
Saintis mamalia di Universiti Massey, Karen Stockin berkata, walaupun kejadian tersebut adalah perkara biasa di New Zealand, namun insiden yang berlaku secara berturut-turut adalah luar biasa.
Beliau juga berkata, sejak beberapa tahun lalu mamalia itu juga menunjukkan sikap yang pelik. – AFP










