Kumpulan EPIC lafaz, tandatangani Ikrar Bebas Rasuah - Utusan Malaysia

Kumpulan EPIC lafaz, tandatangani Ikrar Bebas Rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 10 Dis. – Sebanyak 70 kakitangan termasuk pegawai dari Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad hari ini melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai tanda komitmen membasmi gejala rasuah secara holistik.

Lafaz ikrar itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor sambil disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Mohd. Zaki Hassan bertempat di Dewan Besar Darul Iman Training Centre (DITC) di Teluk Kalong di sini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan EPIC, Ahmad Mohd. Yunus; Pengurus Besar Bahagian Perancangan dan Komunikasi Korporat EPIC, Abdul Adzim Abdul Hamid dan Ketua Cawangan SPRM Kemaman, Ahmad Rizal Samat.

Menurut Noor Fadzil, pihaknya berharap ikrar tersebut bukan sekadar lafaz tetapi juga mesti dihayati dan diamalkan oleh semua kakitangan Kumpulan EPIC untuk sama-sama memerangi gejala rasuah.

“Majlis yang julung kali dianjurkan Kumpulan EPIC ini bersempena Hari Anti Rasuah Sedunia pada 9 Disember setiap tahun adalah tanda sokongan dan komitmen Kumpulan EPIC sebagai anak syarikat kerajaan negeri Terengganu dalam membenteras gejala rasuah dan salah guna kuasa serta mewujudkan perkhidmatan yang adil dan telus.

“Di samping itu, majlis ini juga seiring dengan teras utama Rancangan Perniagaan Kumpulan EPIC 2019 – 2023, iaitu menerima pakai amalan terbaik dalam pengurusan perniagaan tadbir urus dalam menuju kemampanan dan kredibiliti syarikat di masa kini dan akan datang,” katanya di sini hari ini.

Kerjasama antara Kumpulan EPIC dan SPRM dalam menjayakan majlis ini juga merupakan salah satu usaha meningkatkan nilai integriti serta melahirkan modal insan yang lebih bertanggungjawab, amanah dalam setiap aspek tugasan dan seterusnya memberi nilai tambah kepada syarikat secara keseluruhannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN