Kula Segaran nafi dakwaan lantik syarikat 'kroni' - Utusan Malaysia

Kula Segaran nafi dakwaan lantik syarikat ‘kroni’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Dis. – Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran menafikan dakwaan beliau bertanggungjawab dalam melantik sebuah firma guaman yang didakwa milik anak didiknya untuk menjadi ejen mengutip tunggakan levi kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

Menteri itu dilaporkan berkata, beliau tidak bertanggungjawab terhadap pelantikan ejen di HRDF yang merupakan badan untuk mempromosi latihan dan pembangunan pekerja.

“Saya tidak terbabit dengan operasi harian. Saya juga tidak terbabit dalam pengambilan pekerja atau menandatangani cek,” katanya kepada portal Free Malaysia Today malam tadi.

Kula Segaran yang juga seorang peguam sebelum dilantik menganggotai Kabinet, mahu HRDF menyiasat dakwaan itu.

Pada Jumaat lalu, satu akaun dalam laman Twitter bernama Lovelydarshan mendedahkan firma guaman, Vemal Arasan & Associates yang didakwa milik anak didik Kula Segaran dilantik sebagai ejen menguruskan tunggakan levi tersebut.

Malah akaun Twitter itu mendakwa, firma guaman itu gagal memenuhi syarat-syarat polisi HRDF iaitu memerlukan seorang rakan bumiputera dan perlindungan insurans RM1 juta.

Bagaimanapun menurut portal itu lagi, ketika dihubungi, Ketua Eksekutif HRDF, Elanjelian Venugopal mengesahkan firma itu merupakan satu daripada 16 panel badan berkenaan dan menjelaskan setiap khidmat guaman yang dilantik adalah mengikut kepakaran masing-masing serta telah ditapis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×