SAUDARA PENGARANG,
SEJAK tahun lalu, rakyat khususnya di Lembah Klang dapat menikmati perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang.
Perkhidmatan tren yang hadir tepat pada waktunya serta kekerapan hanya mengambil masa empat minit amat memudahkan pengguna untuk bergerak ke sesuatu tempat.
Baru-baru ini pula, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 sebagai satu inisiatif besar daripada kerajaan untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat dan menggalakkan lagi penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam dalam kalangan warga Lembah Klang.
Pas perjalanan ini boleh digunakan tanpa had pada setiap bulan untuk semua perkhidmatan yang ditawarkan oleh RapidKL termasuklah bas perantara Bas Rapid Transit (BRT). Inisiatif diperkenalkan ini telah lama ditunggu-tunggu oleh pengguna yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan pengangkutan awam untuk ke pejabat, universiti dan sebagainya. Prasarana Berhad wajar dipuji kerana sekali lagi telah memihak kepada rakyat.
Bagaimanapun, lain pula halnya dengan syarikat perkhidmatan kereta api terbesar negara, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Seperti masih dibuai dalam mimpi, KTMB dilihat tidak mahu bersaing untuk memenangi hati pengguna.
Jika mahu dibezakan mutu perkhidmatan komuter dan pesaingnya, KTMB amat jauh ketinggalan. Kekerapan perkhidmatan komuter KTMB kadang kala boleh mengambil masa sehingga 40 minit. Skrin paparan juga acapkali tidak memaparkan jangkaan waktu yang tepat.
Stesen-stesen komuter yang terletak agak jauh dari bandar juga tidak diselenggara dengan baik. Kad konsesi yang ditawarkan pula memerlukan pengguna membayar caj tahunan sebanyak RM33, satu jumlah yang agak besar jika melihat kepada mutu perkhidmatannya.
Namun begitu, perkhidmatan Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang ditawarkan oleh KTMB sehingga ke hari ini tidak terjejas mutu perkhidmatannya bahkan servis yang ditawarkan amat bagus dan selesa. Akan tetapi jika dilihat dari sudut pengguna pula, harga ERL dan ETS agak mahal.
Adakah pengguna harus membayar lebih untuk mendapatkan servis yang terbaik daripada KTMB? Mengapakah komuter KTMB sahaja yang terjejas? Apakah faktor-faktor yang membuatkan KTMB masih selesa sehingga ke hari ini walaupun telah wujud pelbagai aduan dibuat oleh pengguna khasnya dalam media sosial?
Pelbagai teguran sudah dilakukan kepada KTMB untuk meningkatkan kualiti servis mereka, namun sehingga ke hari ini seperti tiada perubahan dilakukan. Akhir kata, dengan pembangunan negara yang makin pesat, KTMB harus bertanya kepada syarikat itu sendiri, sampai bilakah mereka mahu kekal di takuk lama? Rakyat tidak akan menunggu selama-lamanya.
IZZATY SHAIFUL
Seri Kembangan










