BUKIT MERTAJAM 13 Dis. – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bersedia untuk memperluaskan kempen memerangi rasuah menerusi program Balutan Train Mesej Anti Rasuah bagi memastikan masyarakat sedar mengenai bahaya rasuah terhadap negara.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, buat masa ini hanya tren komuter tiga koc di sektor Utara digunakan bagi kempen tersebut.
“Kita bersedia untuk memperluas kempen ini ke sektor lain jika kempen ini berjalan lancar.
“Kempen ini akan bermula selama setahun sejak 5 Disember lalu dan pihak kami berharap usaha ini akan dapat menyampaikan mesej yang jelas mengenai pentingnya usaha membanteras rasuah,” katanya dalam majlis pelancaran Tren Balutan Mesej Antirasuah di sini kelmarin.










