PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melantik peguam Syazlin Mansor dari firma guaman Tetuan Tina Ong dan Syazlin Mansor sebagai peguam pemerhati untuk keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin dalam satu kenyataan berkata, peguam itu juga akan bertindak memberi khidmat nasihat guaman bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Selain itu, peguam pemerhati yang dilantik ini akan turut membantu Polis Diraja Malaysia dan pihak pendakwaan dalam persediaan prosiding kes tersebut,” katanya di sini hari ini.
Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember lepas.
Allahyarham mengalami kecederaan parah selepas dipukul sekumpulan perusuh dalam satu insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor pada 27 November lalu. – K! ONLINE










