PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneruskan kajian mengenai pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan sebagai salah satu pilihan untuk mempertingkatkan lagi pendemokrasian dalam pentadbiran kerajaan.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, kajian yang dilaksanakan itu juga akan mengambil contoh pelaksanaan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara-negara lain di seluruh dunia dengan mengikut acuan tempatan sekali gus mengambil kira sentimen dan sentiviti rakyat di negara ini.
“Adalah penting untuk kita terus meneroka kaedah baharu yang bersesuaian untuk dilaksanakan di samping sentiasa peka dan mempertimbangkan kebaikan dan keburukan dari segala aspek demi memastikan kelestarian rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kerajaan pusat tidak akan melaksanakan semula pilihan raya kerajaan tempatan kerana tidak mahu negara terdedah kepada konflik perkauman selain bimbang ia akan melebarkan jurang kawasan bandar dan luar bandar.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, KPKT telah membuat perangkaan dengan mengambil kira pelbagai sudut terutamanya bagi memberi pemahaman, pemberdayaan dan penerangan bersepadu kepada pelaksanaan pilhan raya kerajaan tempatan yang hanya akan dibentangkan dalam jangka masa tiga tahun lagi.
“Cetusan inspirasi untuk melaksanakan semula pilihan raya ini merupakan salah satu aspek pembaharuan demokrasi yang telah diketengahkan oleh Pakatan Harapan.
“Perkara ini telah dinatijahkan di dalam manifesto sebagai salah satu kaedah untuk memperkukuhkan demokrasi setempat yang mana secara jelas akan memberikan kesan terhadap tahap kualiti perkhidmatan PBT,” katanya. – K! ONLINE










