JOHOR BAHRU – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mewajibkan semua bangunan kerajaan mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC) terhadap kesemua bangunan kerajaan mulai tahun hadapan.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pelaksanaan itu dibuat berikutan ada beberapa bangunan kerajaan yang didapati tidak mempunyai sijil berkenaan.
“Jadi sekarang pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) sudah pergi (buat pemeriksaan) ke bangunan kerajaan yang tidak ada.
“Mereka juga diberi tempoh masa untuk membuat persediaan bagi mendapatkan Sijil FC,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Syarikat See Hau Global di Ulu Tiram, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berita semalam (Khamis) mengenai 27 premis di Pulau Pinang termasuk sebuah hospital di Georgetown dan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang didapati tidak mempunyai Sijil FC.
Katanya, kertas kerja berhubung penguatkuasaan itu juga sudah disiapkan dan akan dibentangkan ke Kabinet secepat mungkin. – K! ONLINE










