Kos haji kekal RM9,980 - Utusan Malaysia

Kos haji kekal RM9,980

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) memberi jaminan bahawa kos menunaikan haji kekal seperti sebelum ini iaitu RM9,980 walaupun terdapat isu kewangan membabitkan badan tersebut.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yakin dividen dan hibah secara sah dapat diberikan kepada 9.2 juta pendeposit Tabung Haji pada tahun ini selepas program pemulihan dan penstrukturan dijalankan sejak Julai lepas, dengan kadar dividen bergantung kepada keuntungan.

Mujahid mendakwa Tabung Haji telah mengeluarkan hibah yang bercanggah dengan Akta Tabung Haji 1995 sejak tahun 2014.

Ekoran itu, tegas beliau, pihaknya memutuskan untuk mengambil tindakan komprehensif termasuk meletakkan Tabung Haji di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia bagi memulihkan keadaan termasuk dengan menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) bagi mengembalikan kepercayaan 9.2 juta pendeposit.

Ujarnya, proses pemulihan sudah mula dijalankan sejak bulan Julai lalu dan beliau yakin masalah kewangan Tabung Haji akan kembali pulih tahun hadapan.

‘‘Saya yakin pada tahun hadapan kita akan kembali ke landasan sebenar dan kemungkinan besar akan ada dividen untuk pendeposit tahun ini,’’ katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Pada 31 Disember 2017, jumlah aset keseluruhan Tabung Haji ialah sebanyak RM70.3 bi­lion manakala jumlah liabiliti sebanyak RM74.4 bilion.

Seksyen 22 (3) (a) Akta Tabung Haji menyebut hibah tidak boleh diberikan apabila nilai aset lebih­ rendah daripada liabiliti dan Tabung Haji perlu menerbitkan keuntungan dalam tahun tersebut.

Katanya, perkara tersebut adalah suatu kesalahan besar dan tindakan akan diambil terhadap barisan pengurusan Tabung Haji terdahulu.

‘‘Laporan kewangan Tabung Haji berakhir 31 Disember 2017 hasil audit firma PWC menunjukkan aset badan itu adalah RM70.3 bilion, manakala liabi­liti RM74.4 bilion, maka wujud defisit RM4.1 bilion.

‘‘Walaupun mencatatkan desifit tetapi mereka masih mengeluarkan hibah, pemberian itu adalah bercanggah de­ngan Akta Tabung Haji,’’ katanya.

Mujahid berkata, percanggahan itu adalah dua kesalahan yang dikesan PWC di bawah perkara Emphasis of Matter di mana satu lagi kesalahan adalah wujud kerugian RM2.27 juta atas pelaburan yang tidak dinyatakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN