Kompleks Pertanian Ajil jadi tapak kekal 'Road to MAHA' - Utusan Malaysia

Kompleks Pertanian Ajil jadi tapak kekal ‘Road to MAHA’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 11 Dis. – Kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan Kompleks Pertanian Ajil di Hulu Terengganu sebagai tapak kekal bagi menjalankan aktiviti Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia atau ‘Road to MAHA’ secara lebih berkesan dan sistematik.

Tapak yang terletak di atas tanah seluas lebih 70 hektar itu akan turut menempatkan pavilion-pavilion negeri dan juga jabatan-jabatan di bawah pejabat pertanian selain pelbagai kemudahan infra yang lain, apabila siap kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebaik sahaja Pavilion Terengganu berjaya meraih tempat kedua dalam MAHA 2018 yang berlangsung di Serdang, Selangor tempoh hari.

“Apa yang membanggakan, Menteri Besar bersetuju dengan cadangan itu dan meminta saya mengemukakan peruntukan perbelanjaan yang diperlukan bagi membangunkan kawasan berkenaan.

“Setakat ini kita masih mengkaji dan menilai berhubung jumlah sebenar peruntukan yang diperlukan dan berharap idea serta cadangan ini bakal menjadi kenyataan,” katanya ketika berucap pada Majlis Meraikan Para Petugas MAHA 2018 di Wisma Peladang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Zulkifli Harun dan Pengarah Perikanan negeri, Zawawi Ali.

Sempena MAHA 2018 selama 11 hari bermula 22 November lalu di Serdang, Selangor itu, Pavilion Terengganu yang meraih tempat kedua berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000 dan antara pavilion paling ramai dilawati pengunjung.

Menurut Dr. Azman, berdasarkan sambutan menggalakan itu, peniaga daripada negeri ini berjaya meraih jualan sehingga RM140,000.

Katanya, berdasarkan sambutan dan kejayaan itu telah mencetus idea untuk membangunkan tapak kekal ‘Road to MAHA’ sebagai satu usaha ke arah membangunkan bidang pertanian negeri dengan lebih bersistematik.

“Kita akan bangunkan tapak kekal ‘Road to MAHA ini seakan-akan tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPs) Serdang, Selangor. Kita akan bina pavilion, jabatan-jabatan di bawah pertanian akan ditempatkan di sini. Selepas ini, Pavilion negeri akan dipindahkan ke sini secara kekal”, ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN